Ada insan berbangga dikurniakan pasangan yang baik, hensem, berduit, rajin, dan memiliki banyak kelebihan. Asyik mencanang kelebihan suami, lebih-lebih lagi pada yang tak punya, atau yang mempunyai suami tak sebaik dia. Terasa puas, dialah wanita paling beruntung.
Ada pula yang berbangga kerana dikurniakan anak yang comel dan bijak. Tak sudah-sudah bercerita pasal anak. Update gambar anak, pencapaian anak, dan segala keistimewaan si anak. Lupa pada sahabat yang mungkin tiada rezeki anak, atau yang mempunyai anak yang tidak sihat atau sering sakit. Atau mungkin anak tak sebijak anak dia, yang pandai serba serbi.
Ada juga para ibu yang berbangga, dapat lahirkan anak secara normal dan mudah pula. Memperkecilkan ibu yang mungkin terpaksa menjalani operation atau menanggung kesakitan yang lebih lama. Kononnya yang normal itu lebih baik dan lebih mulia.
Ada yang bangga, dapat bercuti ke sana sini, menikmati hidangan yang beraneka, bercerita, berkongsi gambar, tanpa rasa bersalah. Mungkin terlupa, ada insan yang tidak mampu untuk menikmati bestnya hidup seperti dia.
Kita semua direzekikan dengan kenikmatan yang berbeza. Kita cenderung untuk bergembira dan bahagia dengan setiap kenikmatan yang dikurniakan.
Namun kadangkala, kerana terlalu gembira, kita jadi lupa pada insan yang tak bernasib baik seperti kita. Kita terlalu mempamerkan rasa suka kita, hingga tahap menunjuk-nunjuk pada kelebihan yang kita ada.
Ya, mungkin kita terlupa. Mungkin kerana kita terlalu suka. Padahal ada mata yang memandang penuh cemburu. Ada hati yang menangis penuh hiba.
Kita kata, itu masalah hati mereka. Kenapa nak cemburu pada kebahagiaan orang lain?
Tapi tidak bolehkah kita membantu mereka menjaga hati mereka? Cukuplah syukur, bukti kita sedang sangat berbahagia. Bukan mencanang di sana sini. Bukan mempamerkan pada sesiapa saja. Bukan berlumba menunjukkan kelebihan yang kita ada.
Tak salah berkongsi, jika yakin ia memberi manfaat. Tak salah berkongsi, kalau bersamanya ada penyampaian ilmu. Mungkin tips atau cara, atau mungkin nasihat, buat insan lain untuk turut merasakan nikmat dan kegembiraan yang sama.
Teguran buat diriku sendiri. Atas segala kelebihan yang Allah berikan, moga aku tetap tunduk dan jauh dari rasa diri lebih baik dari orang lain. Adakala aku rasa biarlah hidup kami sekeluarga tak glamor dan tak dikenali. Biarlah segala kelebihan dan kenikmatan tersembunyi, moga tak ada mata yang memandang penuh cemburu.
Malah aku juga tak mahu mencemburui rezeki orang lain. Kerana setiap kita ada bahagia yang tersendiri. Hanya jika kita mahu berfikir dan bersyukur. Kerana Allah itu Maha Adil dan Maha Pengasih.
No comments:
Post a Comment