HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Sunday, 12 June 2016

MALAM YANG TERUJI

Malam 8 Ramadhan 1437

Malam yang sedikit teruji. Tanpa suami di sisi, tanpa khabar darinya yang jauh di perantauan. Semoga baik baik saja.

Malam ini menjaga dan melayan kedua anak solehku yang tidak sihat. Panas badan dan muntah... selera makan juga tiada. Menangis dan merengek. Mahu ummi sentiasa ada dekat.

Anas dan Mussaab, pun begitu keadaannya, aku tahu mereka sedang cuba untuk melawan dan cuba untuk menjadi kuat. Mereka tidak menyusahkan. Namun hati ini tetap meruntun sayu.

Demam ini sudah biasa. Namun setiap kali anak anak demam, setiap kali itu juga hati diundang resah. Apalagi suami tiada di sisi..

Malam semakin larut. Kini mereka sedang lena dibuai mimpi. Hanya aku yang masih sukar untuk lelapkan mata. Masih ada rasa kebimbangan dan kesayuan. Mengharapkan hari esok akan lebih baik buat anak anakku. Diberi kesihatan dan kecergasan seperti sediakala.

Sungguh, malam ini berlalu suram tanpa suara ceria mereka. Terasa sunyi yang amat. Rindu pada riuh rendah suara mereka.

Hanya pada Allah tempatku mengadu. Dikala suami juga jauh tak mampu kucapai untuk mengadu dan bercerita. Aku percaya Allah mendengar suara hatiku yang merintih. Allah pasti tak akan membiarkan aku sendirian mengharungi kesulitan ini.

Ini hanya cebisan ujian dariNya. Untuk aku berfikir tentang banyak perkara. Bahawa anak ini anugerah yang tak ternilai harganya. Tanpa mereka aku kesepian. Bahawa aku perlu belajar menjadi ibu yang lebih penyabar. Saat sihat mereka, saat sakit mereka, segalanya mendambakan kesabaranku dalam melayan dan bertindak.

Semoga Anas dan Mussaab kembali sihat dan ceria saat terjaga dari tidur mereka esok. Aku rindukan senyuman dan tawa mereka. Semoga suamiku juga baik baik dan sihat sihat saja di dalam jagaan yang Maha Esa.

Ya...kita hanya ada Allah sebaik baik tempat berlindung dan bergantung.



No comments:

Post a Comment