080516
Alhamdulillah dapat bersama sama suami dan anak anak menikmati keindahan kota raya Kuala Lumpur dengan menaiki hop on hop off.
Info tentang hop on hop off ini aku dapati daripada seseorang yang berkongsikan pengalaman beliau bersama anak anak menaiki bas tersebut.
Kebetulan cuti suamiku hanya satu hari, kami bercadang untuk membawa anak anak berjalan, dan merancang juga untuk ke pesta buku yang diadakan di MAEPS. Namun kerana kesuntukan masa, kami hanya sempat berjalan jalan di sekitar KL dengan menaiki bas 2 tingkat hop on hop off tersebut.
Kami bertolak dari rumah di semenyih jam 9 pagi menuju ke Terminal Bersepadu Tasik Selatan. Kereta ditinggalkan di situ, dan kami menaiki komuter menuju ke KL central untuk menaiki hop on hop off di situ.
Sampai di Kl Central, jam sudah menunjukkan pukul 11 pagi. Kami membeli makanan di kedai Subway dan makan di situ kerana anak anak sudah lapar. Sempat juga ke toilet sambil menanti bas tiba. Terlepas 2 buah bas, dek kerana anak lapar nak mengisi perut dan sakit perut untuk membuang air.
Kami akhirnya menaiki bas jam 12 lebih. Hari sudah panas, namun tak mengapa, anak excited nak naik bas 2 tingkat. Kami ke bahagian yang tidak berbumbung di tingkat atas. Cuaca panas, tapi terasa selesa ditiup angin sepoi bahasa. Anas dan Mussaab terpegun dan leka menikmati pemandangan luar sepanjang perjalanan.
Terdapat 23 perhentian hop on hop off, penumpang boleh menaiki bas di mana mana perhentian dan tiket boleh dibeli di kaunter yang disediakan, atau membelinya di atas bas. Harga tiket ialah rm19 untuk 24jam (untuk pemengang mykad) dan percuma untuk kanak kanak di bawah usia 5 tahun.
Antara tempat perhentian bas tersebut ialah di KL central (tempat kami naik), Muzium Negara, Istana Negara, Masjid Negara, KL Tower, Taman Tasik Perdana, Taman Burung, KLCC dan banyak lagi. Semuanya tempat yang menarik untuk dikunjungi.
Perhentian kami yang pertama ialah di Masjid Negara, jam 1 petang. Kebetulan sudah hampir waktu zohor, dan Mussaab juga perlu ditukarkan pampersnya, kami membuat keputusan untuk turun di situ. Selesai urusan solat dan uruskan si kecil, kami menunggu bas untuk meneruskan perjalanan. Sempat membeli minuman untuk menghilangkan dahaga.
Lebih kurang pukul 2 petang, bas tiba dan kami menaiki bas tersebut. Sekali lagi menuju ke bahagian yang tidak berbumbung untuk menikmati pemandangan di Kuala Lumpur. Penumpanga agak ramai, dan hampir kesemuanya adalah pelancong dari luar.
Perjalanan diteruskan. Kali ini kami tidak turun di mana mana perhentian memandangkan hari sudah petang. Niat asalnya nak ke KLCC, tapi tak jadi. Insya Allah lain kali pula.
Jam 3 petang, hujan mula turun. Kami masuk ke bahagian yang berbumbung. Tak dapat lagi menikmati angin sepoi bahasa di luar. Kini menikmati dingin air cond pula. Anak anak yang kepenatan tertidur akhirnya. Hingga akhirnya tiba di perhentian KL Central, perjalanan kami berakhir di situ. Sudah hampir masuk waktu asar, kami perlu bersegera untuk kembali ke TBS. Kali ini menaiki tren KLIA Transit, menuju ke TBS.
Di TBS kami menunaikan solat asar dan makan malam di restoren KFC kerana anak anak sudah merengek lapar.
Jam 6 petang, selesai segala urusan dan kami menaiki kereta untuk pulang. Kerana kepenatan dan aku juga sudah mula sakit kepala, kami tidak singgah ke pesta buku walau pada awalnya sudah berjanji dengan Anas untuk membeli buku untuknya juga. Kami terus pulang ke rumah, dan tiba di rumah ketika azan maghrib berkumandang.
Hari yang penat dan menyeronokkan buat kami terutamanya anak anakku yang menikmati pengalaman baru. Insya Allah jika ada peluang akan membawa lagi anak anak menaiki bas tersebut. Lebih baik naik di waktu pagi, kerana cuaca masih sejuk dan teduh. Di samping itu, boleh singgah di banyak perhentian juga :D
No comments:
Post a Comment