Wanita dan kecantikan...tak dapat dipisahkan. Semua wanita ingin menjadi cantik, dan dipandang cantik. Apalagi di hadapan insan yang dicintai, pasti mengharapkan dirinya yang tercantik.
Cantik itu subjektif. Orang memandang cantik dalam sudut yang berbeza. Kita mungkin menyatakan dia cantik, tapi orang lain menyatakan sebaliknya.
Ramai wanita cantik yang dapat kita lihat di kaca TV. Mira Filzah, Nora Danish, Fasha Sandha, Erra Fazira, dan ramai lagi yang menjadi sebutan dan glamor kerana cantik. Kerana dipandang cantik, dianggap cantik, ramai wanita menjadi kagum, cemburu dan ingin memiliki wajah secantik itu.
Ya, wajah yang cantik. Tubuh badan yang cantik. Sering menjadi kekaguman ramai wanita, yang kemudian bermimpi dan berusaha untuk menjadi cantik seperti mereka. Apatah lagi iklan di TV memfokuskan kecantikan wajah dan tubuh badan wanita, memaksa setiap wanita menjadi cantik seperti itu. Malah menggoda hati dan nafsu lelaki, dengan kecantikan yang seumpama itu.
Semua wanita mengejar kecantikan rupa dan wajah. Hingga lupa kecantikan yang lebih utama iaitu kecantikan akhlak. Kita akui, tak semua orang dianugerahkan wajah yang cantik. Tapi ia tetaplah ciptaan Allah yang yang paling baik dan sempurna. Namun percayalah, semua orang boleh memiliki akhlak yang cantik.
Akhlak mengatasi rupa. Akhlak yang cantik tetap memberi pesona, meski tanpa wajah yang cantik. Akhlak yang buruk, tetap tiada maknanya meski memiliki wajah yang cantik. Apatah lagi akhlak dan wajah yang cantik beriringan, menambahkan lagi pesona dan seri diri seorang wanita.
Kita tahu ramai lelaki mendambakan wanita cantik untuk menjadi pasangannya. Tapi apakah semua mereka berbahagia kerana memiliki isteri yang cantik? Tak juga..kerana cantik wajah bukanlah segalanya.
Perhatikan pasangan yang bahagia, apakah kerana mereka mempunyai pasangan yang cantik rupa semuanya? Tentulah tidak semuanya. Kerana jaminan sebuah kebahagiaan itu bukan bergantung pada rupa yang cantik.
Maka bersyukur lah wahai wanita. Walau memiliki wajah yang bukan dalam kategori cantik, kita tetap berhak untuk memiliki bahagia. Bukan semua lelaki memandang kecantikan rupa. Tak perlu bersusah payah untuk menata wajah semata mata kerana ingin dipandang cantik. Lebih baik berusaha perbaiki akhlak dan peribadi agar setiap insan senang dan bahagia mendampingi kita.
Cantik itu tetap subjektif. Tak perlu mengharap untuk dipandang cantik. Bersyukur andai kita sentiasa senang dan tenang dipandangan orang. Bukan kerana kita cantik, tapi kerana kita baik.
Sama sama kita perbaiki diri, perbaiki akhlak, percantikkan tabiat dan perangai. Kerana wanita yang cantik, belum tentu akhlaknya baik. Kita semua ada peluang untuk memiliki akhlak yang cantik dan menyenangkan. Kita ada hak untuk bahagia dan disayangi, meski bukan kerana kita cantik.
picture: here |
No comments:
Post a Comment