Betapa seorang ibu itu sangat mulia di sisi Allah. Betapa ibu lebih dimuliakan berbanding bapa dan yang lain. Betapa Islam menitikberatkan soal ketaatan kepada ibu dan terlalu banyak ayat al Quran dan Hadis yang menceritakan tentang kemuliaan seorang ibu dan kewajipan dalam mentaati ibu.
YA, kerana hakikatnya seorang ibu itu tersangat mulia. Dari ibu kita dilahirkan, disusukan, dipeluk, dibelai, didodoi, dipujuk, dididik, diajar tentang banyak perkara, dan sesungguhnya ibu terlalu banyak berkorban dan berjasa. Hanya kita yang jarang menyedarinya...
Kerana jarang si ibu ingin mengeluh atas kesusahannya. Tak siapa yang rasa perit penderitaannya, dari melahirkan dan menjaga si anak hingga dewasa. Kesusahan yang kita lihat, hanya sebahagian dari apa yang diselindungkan di dalam hatinya.
kini setelah bergelar ibu, sedikit demi sedikit aku mengerti kepayahan seorang ibu. Masih belum sepenuhnya mengerti, namun gelaran ibu ini sedikit demi sedikit mengajarku erti pengorbanan seorang ibu. Meski banyak khilaf dalam menjalankan tugasan ini, aku tetap belajar dan cuba untuk mengerti. Rindu pada ibu yang melahirkan dan membesarkan, rasa berdosa pada ibu yang banyak berkorban dan berjasa. Tak mampu untuk ku balas jasanya. Semoga Allah tempatkan ibu di kalangan hambaNya yang soleh. ameen
Kerana mulianya seorang ibu, terkadang rasa bangga menjadi seorang ibu. Namun dalam masa yang sama, tetap perlu ingatkan diri bahawa kemuliaan itu sesuatu yang perlu diusahakan. Ya, betapa kita menanggung keperitan melahirkan si anak, menjaganya dari kecil dengan penuh kasih sayang, tapi bukan sekadar itu. Bagaimana pula dengan bentuk didikan yang kita berikan pada anak, adakah nilai murni yang kita tanamkan dalam jiwanya, bagaimana pembentukan akhlaknya, sudahkah kita kenalkan dia pada Allah dan Rasul, dan sebagainya.
Tak lupa, bagaimana pula tahap kesabaran saat berhadapan dengan sikap anak anak yang pasti banyak ragamnya. Adakah kita bersikap tenang dan sabar, atau lebih banyak menengking, mengherdik dan memarahinya.
Dalam memikirkan kemuliaan seorang ibu, hati tak lepas dari rasa berdosa pada si anak. Salahnya sering dibalas dengan kemarahan, banyak pula pertanyaannya yang tak mampu diberi respon dengan sebaiknya, banyak masa yang sepatutnya untuk si anak dihabiskan pada perkara yang lain, mainnya jarang ditemani, permintaannya tak semua dapat dipenuhi meskipun simple, saat meragamnya pula dibalas dengan suara yang keras tanpa cuba untuk memahami hati dan kemahuannya. Sungguh, terlalu banyak dosa pada si kecil itu..
Dalam meraih kemuliaan itu, aku sedar aku perlu lebih banyak bersabar dan berusaha. Kemuliaan tak akan sendiri datang. Usah mimpikan kemuliaan andai kita sendiri jauh dari dari sikap yang mulia yang layaknya seorang ibu tampilkan. Usah juga mimpi untuk dimuliakan si anak jika kita sendiri sering mengabaikannya dan memberi layanan yang tak sewajarnya pada si anak. Bagaimana sikap dan layanan kita pada anak anak hari ini, memberikan gambaran bagaimana sikap dan layanan anak anak pada kita suatu hari nanti.
Maka beringatlah wahai ibu sekalian, meskipun Allah meletakkan ibu di tempat yang mulia, namun kita juga perlu menilai diri kita apakah kemuliaan itu layak buat kita. Tidak salah untuk kita sentiasa muhasabah diri, kerana sesungguhnya kita sebagai manusia biasa pasti takkan terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa meskipun pada anak anak kita. Ayuhlah bertaubat dan bersama memperbaiki kesilapan diri agar kemuliaan seorang ibu itu mampu kita raih. Insya Allah.
No comments:
Post a Comment