Hari Jumaat (6/11/15), berkesempatan untuk ke tanah tinggi cameron highland untuk kesekian kalinya. Kali ini pergi bersama ibu mertua dan 3 orang adik ipar dan seorang biras. 9 orang semuanya termasuk 2 anakku.
Kami bertolak dari Kajang seawal jam 8 pagi menuju ke matrik uia pj untuk mengambil adik bongsu suamiku yang belajar di situ. Sampai di kolejnya jam 9 lebih, dan terus menuju ke cameron highland.
Selepas itu menikmati makan tengahari di kedai makan yang biasa juga kami makan jika berhenti di lata iskandar. Dah kenyang makan, terus naik ke Tanah Rata untuk check in hotel. Kami menginap di Hotel Madani, sebuah hotel muslim. Kami telah menempah 3 buah bilik, 2 bilik king(rm 175) dan satu bilik queen(rm 148).
Mak dan adik ipar yang bertolak dari Kota Bharu masih dalam perjalanan mereka. Kami yang tiba awal berehat dulu di bilik. Niat nak lelapkan mata sekejap, tapi tak dapat juga dek kerana anak yang tengah rancak bermain dan melompat.
Jam 5 petang kami ke sebuah kedai untuk menikmati kopi strawberry. Kedai yang biasa juga kami singgah, berderetan dengan time tunnel museum di Brinchang. Setiap kali datang memang kami akan singgah minum kopi strawberry di sini. Sedap dan nikmat rasanya :) kami juga memesan roti dan membeli jagung dan ubi rebus.
Suasana petang ini sangat nyaman dan dipenuhi kabus. Hujan turun rintik rintik menambahkan kesejukan di puncak cameron highland. Masya Allah, rasa sangat best menikmati suasana sejuk di sini.
Di kedai ini juga akhirnya berjumpa dengan mak dan adik ipar. Mereka juga menikmati kelazatan kopi di sini. Selepas itu kami semua menuju ke pasar malam di brinchang. Orang ramai memenuhi ruang pasar malam, seperti biasa. Kami membeli sedikit makanan untuk makan malam kami, dan kembali ke hotel. Malam hari hanya berehat di bilik dan makan bersama.
Hari kedua di Cameron highland (7/11/15). Bangun solat subuh seperti biasa. Pagi yang sangat sejuk meskipun tanpa kipas dan aircond. Suasana pagi terasa nyaman dan dilitupi kabus. Anak anak keduanya lena tidur dan susah nak dikejutkan. Sehingga jam 8 pagi, barulah keduanya bangun. Tukar pakaian dan menikmati sarapan pagi yang hotel sediakan. Alhamdulillah untuk 2 bungkus nasi lemak, mengisi perut kami 4 beranak :)
Kemudian ke Taman Agrotek Mardi yang terletak di Tanah Rata, dekat je dengan hotel kami menginap. Kawasannya sangat luas, dan ini kali kedua kami ke sini. Hari ini pengunjung sangat ramai, malah ada banyak bas yang datang membawa rombongan pelawat. Bayaran sebanyak rm3 setiap orang dikenakan untuk masuk ke kawasan tersebut.
Lebih kurang pukul 10 pagi kami kembali ke hotel untuk check out. Sempat juga membeli t-shirt cameron highland untuk anak dan suamiku. Selesai check out hotel, kami ke Big Red Strawberry Farm yang terletak di Brinchang (dekat je dengan tapak pasar malam). Ini 1st aku dan suami ke sini. Tempatnya juga luas dan best. Kami menikmati makan dan minum di cafe yang disediakan. Macam macam pilihan berasaskan strawberry ada di sini. Aiskrim, smoothies, kek, waffles, salad dan macam macam lagi. Kalau pergi dalam keadaan lapar, memang berbaloi sangat ;) kami yang sudah kekenyangan hanya menjamah sekadar untuk merasa. Anak anak pula asyik berlari sana sini.
Selesai di situ, kami bertolak ke pasar untuk membeli sayur. Hari ni sesak sepanjang jalan. Merayap naik ke tempat membeli sayuran dan strawberry. Lebih kurang pukul 1 petang, kami tiba di tempat yang dituju. Suamiku turun membeli sayur, strawberry, jagung dan ubi keledek. Selepas itu kami berpisah di situ. Mak dan adik ipar termasuk yang bongsu bergerak balik ke Kota Bharu, dan kami sekeluarga bergerak balik ke Kajang.
Dalam perjalanan pulang sekali lagi singgah di Lata Iskandar. Kami menikmati makan tengahari di kedai yang sama. Hari ni orang sangat ramai, dan sekali lagi suami dan anak anakku sempat mandi manda di sini meskipun cuaca agak sejuk. Selepas puas bermain air, masing masing menukar pakaian dan kami bergerak meninggalkan tempat itu.
Singgah sekejap ke rumah anak saudaraku di MRSM Felda, Trolak dan rumah adik iparku di Kampung Melayu Subang untuk memberi sedikit sayur dan jagung yang kami beli. Selepas itu, terus pulang ke rumah sewa kami di Kajang. Alhamdulillah tiba di rumah dalam pukul 10 malam. Anak anak sudah lama lena di dalam kereta dek kepenatan kerana seharian berjalan ke sana sini.
Alhamdulillah satu percutian yang indah dan menyeronokkan, dapat bersama mak dan adik adik walaupun tak cukup lagi ahli keluarga sebenarnya.
Alhamdulillah selamat pergi dan selamat pulang. Dan Alhamdulillah dapat luangkan masa bersama, dan menggembirakan hati anak anak.
No comments:
Post a Comment