HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Friday, 30 October 2015

WARKAH RINDU UNTUK DIA


Hari ini dia kembali merantau, jauh mencari rezeki yang halal. Di situ tempat dia mengerah keringat, berjauhan seketika dengan anak dan isteri.

Hari ini episod perpisahan berulang lagi. Insya Allah ia hanyalah perpisahan sementara. Dalam hatinya pasti ada kerinduan, tetapi dia tetap perlu pergi. Untuk dirinya, dan untuk keluarganya yang tercinta.

Dia kini jauh di pandangan mata. Tetapi tetap dekat di dalam hati. Tak dapat untuk saling menatap dan menyentuh, tetapi masih mampu untuk saling mendoakan.

Saat adanya terasa indah, bahagia, menghiburkan, seperti mahu dia sentiasa ada di sisi. Saat tiadanya terasa kehilangan, kesunyian dan rindu yang tak tergambar. Tetapi inilah takdir yang pastinya terbaik di sisi yang Esa.

Dia istimewa, sekurang kurangnya untuk anak dan isteri. Dia anugerah, yang sukar dicari ganti. Dia yang terbaik, insya Allah cinta hingga ke syurga.

Kala jauh hati merindu. Rindu buat kekasih anugerah yang Esa. Dia tempat seorang isteri mencari syurga. Dia yang mencintai seikhlas hati. Sering memaafkan walau sering dilukai. 

Dia yang bernama suami.. 
Dia yang sangat kucintai..
Dia yang amat kudambakan keredhaannya..
Meski dengan kekurangan dan kelemahan yang banyak ini..

Semoga dalam rahmat dan kasih sayang Allah duhai suami...

No comments:

Post a Comment