picture: here |
Cinta 'dia' yang bernama suami. Setiap insan berbeza dalam menterjemahkan cinta. Hanya kita sendiri yang dapat mengenal pasangan, memahami bahasa cintanya, lantas bersyukur :)
Bukti dia cinta;
Dia tahu cinta mana yang sepatutnya menjadi keutamaan dalam hidupnya. Allah dan Rasul menjadi cinta utamanya, disusuli cinta pada ibubapanya. Selepas itu barulah cinta buat isterinya. Bukan cinta isteri yang pertama, hingga lupa pada cinta yang lebih utama.
Bukti dia cinta;
Dia bertanggungjawab mencari rezeki untuk menanggung kehidupan anak isterinya. Dia rajin bekerja, dia ikhlas bekerja, dia cuba cukupkan keperluan isteri dan anak anaknya dengan kadar kemampuan dan kudratnya meskipun tak seberapa hasilnya.
Bukti dia cinta;
Dia cuba meluangkan masa yang berkualiti buat keluarganya meskipun sebentar. Sedikit masa di rumah tetapi penuh pengisian jauh lebih baik dari banyak masa di rumah tetapi hal anak isteri langsung tak dipeduli.
Bukti dia cinta;
Dia mengajar anak isteri ilmu agama. Kenalkan mereka pada Allah dan Rasul. Ingatkan mereka tentang dosa pahala. Ajarkan mereka tentang akhlak mulia. Menegur di kala salah, dan tak lupa mengambil berat bab pakaian dan aurat isteri.
Bukti dia cinta;
Dia cuba memahami kepenatan isteri menguruskan rumahtangga. Tidak marah kala rumah tak terurus sempurna, malah membantu tika ada kelapangan. Memasak untuk keluarga jika ada bakat di dapur, atau sesekali bawa isteri menikmati hidangan di luar sambil rehat dari kesibukan urusan rumahtangga yang tak pernah sudah.
Bukti dia cinta;
Dia menjaga tahap kebebasan sosial isteri agar tidak terlalu bebas, malah lebih baik di rumah saja saat dia tiada bersama. Kerana dunia luar penuh dengan cubaan dan dugaan. Dia mengambil tahu kenalan isteri, aktiviti isteri dan topik perbualan dan perbinacangan isteri agar tidak hanyut tersasar. Bukan untuk mengongkong, sekadar untuk menjaga.
Bukti dia cinta;
Dia cuba bersabar dengan segala karenah isteri yang adakalanya sukar difahami. Isteri yang kuat rajuk, kuat marah, kuat merungut, kuat berleter, dan segala macam sikap wanita, dirai dan ditangani dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan sesuai dengan watak seorang suami sebagai seorang pemimpin dan perlu bijaksana dalam memimpin.
Bukti dia cinta;
Dia tidak menjauhkan isterinya dari ibubapa dan keluarga isteri meskipun kini dia yang menjadi keutamaan pada isterinya. Dia sedar betapa ibubapa mertua dan keluarga itu yang pernah menjaga dan berjasa pada isterinya sebelum kehadirannya, dan betapa keluarga itu memberi makna kehidupan yang besar buat isterinya.
Bukti dia cinta;
Dia tidak memandang pada kecantikan semata. Dia bersabar dengan kekurangan isteri, tidak terlintas di hati untuk membuat perbandingan dengan wanita lain yang pastinya akan mengundang cemburu di hati isteri malah membuat isteri kecil hati kerana kekurangannya.
Bukti dia cinta;
Sesekali berada di rumah dia mengambil tugas melayan dan menguruskan anak anak yang ternyata agak mencabar. Fahami isteri yang hampir setiap hari, malah setiap masa melayan karenah anak yang berbagai, menguruskan hal mereka dalam setiap perkara.
Bukti dia cinta;
Dia tidak akan sesekali menjatuhkan maruah isteri di hadapan sesiapapun termasuk di depan ibu ayahnya. Dia cuba sedaya upaya menutup segala keaiban isterinya, cukup sekadar dia yang tahu. Malah lebih baik, dia menonjolkan segala kebaikan isterinya di depan ibubapa dan ahli keluarganya agar isterinya tetap dihormati dan disayangi.
Yang di atas itu hanya cebisan dari bukti cinta seorang suami buat isterinya. Wahai isteri, ambil sedikit masa merenung kebaikan suami buat dirimu lantas bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang sedang mencintaimu dengan ekspressinya yang tersendiri.
Suami kita takkan sama dengan suami orang. Mereka punya cara tersendiri dalam membuktikan cinta. Hanya kita yang lebih mengenal suami kita dan bagaimana cara dia mempamerkan cinta, meski bukan dengan luahan atau ungkapan cinta.
Hakikatnya cinta yang hadir bersama tanggungjawab adalah lebih bermakna buat sang isteri. Bukan sekadar cinta, bukan sekadar luahan kata manis dan indah semata.
Namun wahai isteri, saat hati tertanya apakah dia benar benar cinta, mungkin saat itu kita perlu merenung diri melihat kadar mana cinta kita untuknya dan kerana apa kita mencintainya. Hanya kerana kita ikhlas mencintai, insya Allah kita juga akan ikhlas dicintai..
No comments:
Post a Comment