Saat bahagia adalah saat menjadi seorang isteri kepada insan yang dicintai. Saat paling bahagia juga adalah saat bergelar seorang ibu atau bakal ibu. Tiada lafaz untuk menggambarkan bahagia ini :)
Anak anak, cahaya mata, penyeri hidup, penghubung kasih suami dan isteri. Saat mengandungkannya kita bersyukur dan gembira. Dibelai perut yang kian membesar. Dihadiah doa dan bacaan ayat suci al quran untuk menenangkan anak di alam rahim. Saat dia menendang lembut, kita tersenyum ceria. Alhamdulillah si anak sihat dan aktif. Manisnya saat saat ini :)
Hati bertambah bahagia saat mendengar tangisan pertama si anak selepas bergadai nyawa untuk melahirkannya. Serta merta kesakitan itu berlalu pergi. Hati ibu kini dihiasi perasaan indah saat mendakap tubuh si kecil dan menatap wajah comelnya. Hanya Allah yang mengerti bagaimana bahagianya hati ibu di saat dan ketika itu.
Setelah itu bermula episod ibu bersama anak yang telah dilahirkannya. Menjaga, menyusu, membelai, memeluk, dengan penuh rasa kasih dan sayang. Anak kecil itu, setiap detik membahagiakan. Setiap ketika, menceriakan.
Kalau dapat dirakam, mahu saja dirakamkan setiap detik keletah dan gelagat manja si anak. Mahu saja merakam setiap senyum dan tangisnya. Mahu saja dirakam setiap inci pembesarannya. Tidak mahu kenangan indah itu berlalu begitu saja bersama kedewasaan si anak. Biarkan ia tetap menjadi ingatan dan memori yang terindah dalam hidup ini.
Percayalah, hati ibu terlalu bahagia melahirkan anak yang dikandungnya selama 9 bulan. Hati ibu terlalu sayang, tak terbanding kasih sayangnya buat anak yang tercinta. Sakit anak, sakit jugalah ibu. Gembira anak, gembira jugalah ibu.
Semakin anak membesar dewasa, semakin ibu dalam kerinduan. Rindu pada kisah lalu mengandungkannya, melahirkannya, membelai tubuhnya, mendakap dan mengucup pipinya, menyuap makan minumnya, memandikannya, melihat jatuh bangunnya, senyum tawa dan tangisnya, saat dia mula belajar bertatih, berjalan dan berlari, dan segala kenangan indah yang pastinya akan membuatkan hati ibu sarat dengan kerinduan.
Kerana ibu yang paling dekat dengan si anak, maka ibu juga yang lebih mengenal dan memahami anaknya. Segala kenangan yang lalu banyak terakam di minda ibu, meski si anaksendiri sudah melupakannya.
Hati ibu... Takkan mampu difahami seorang anak. Jasa dan pengorbanannya takkan mampu dibalasi hingga ke akhirnya. Ibu insan yang paling bahagia dengan kehadiran seorang anak, yang paling menyayangi si anak dengan tulus ikhlas, dengan sepenuh jiwa dan raganya.
No comments:
Post a Comment