HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Wednesday, 23 September 2015

TIDAK CUKUP SEKADAR CINTA




Sebuah perlahwinan itu mungkin diikat atas dasar cinta, mungkin juga sebaliknya. Walau bagaimana pun permulaannya, kita percaya bahawa cinta itu perlu dalam menjalani kehidupan bahagia bersama pasangan. Cinta itu sangat penting dan menjadi nadi dalam sebuah hubungan kekeluargaan.

Pun begitu... Cinta bukanlah segalanya. Dapat kita lihat, perkahwinan atas dasar cinta pun ada yang hancur rumahtangganya. Ada pula ikatan yang tidak berdasarkan cinta, bahagia hingga ke akhir hayatnya. Kerana itu dikatakan cinta itu sangat penting, namun ia bukan segalanya.

Kerana cinta itu tersangat penting, maka perlu dihadirkan rasa cinta itu dan perlu pula dikekalkan, disuburkan dan dibajai cinta itu setiap masa. Maka kerana itu hadir faktor faktor lain yang mengundang cinta, menyemarakkan cinta, dan menyuburkan cinta di alam rumahtangga. 

Faktor faktor penting, sering dipandang ringan. Suami dan isteri, perlu hayati bersama erti sabar dan tolak ansur, belas kasihan dan empati, maaf dan memaafkan, kerjasama, dan saling mendoakan... Juga faktor faktor lain yang  menjadi baja baja cinta.

Meskipun cinta..jika tak mampu mengawal marah, cinta pasti tenggelam. Meskipun cinta, jika menyimpan sakit hati dan berat untuk memaafkan, cinta tiada bermakna. Meskipun cinta, jika hanya mahu saling menyalahkan, cinta sukar mengundang bahagia. Meskipun cinta, jika hanya pentingkan diri sendiri dan hanya tahu menuntut hak, apalah ertinya cinta??

Kalau benar cinta, buktikan dengan perbuatan dan pertahankan dengan nilai nilai baik yang selayaknya ada pada setiap insan yang saling mencintai. Kalau si dia lakukan kesilapan, sudilah memaafkan. Jika marah sekalipun, berpada padalah jangan sampai meninggi suara dan menyakiti. Jika benar dia tersalah, tegurlah dengan cara yang paling berhemah. Siapa yang tak buat silapkan??

Kerana cinta juga kita tidak hanya menuntut hak dari pasangan. Kita mengharap dibahagiakan, dimuliakan, dilayan mesra dan dibelai manja... Namun lupa untuk terlebih dahulu memberi apa yang sepatutnya pada pasangan. Kita mengharap, tapi sukar untuk memberi. Ingatlah makna cinta itu ialah pada ikhlasnya kita memberi tanpa mengharapkan balasan.

Asasnya, cinta itu subur jika ia didasari iman. Iman melahirkan sikap positif dan mahmudah. Iman melatih diri bersabar, diam meskipun marah, berlembut meskipun tercabar, merendahkan keegoan demi sebuah kedamaian, mengalah untuk mengelak tegang, senyum meskipun pahit... Tidak dilupakan doa buat si dia meski hati tengah 'sakit' dengan tingkahnya :)

Tidak mudah kan?? Kerana alam rumahtangga juga sebuah medan perjuangan. Perjuangan untuk mempertahankan cinta, agar cinta terus subur di hati, agar bahagia selamanya dikecapi. 

Kita dan dia.. Bukan manusia sempurna. Salah dan silap itu biasa. Kita dan dia.. Adakalanya berbeza dan tak sehaluan. Bagaimana untuk bertindak dan menguruskan perbezaan itu, di situlah di lihat sebagai  sebuah perjuangan mempertahankan cinta dan kebahagiaan rumahtangga.

Ya... Cinta itu perlu dalam menjamin kebahagiaan rumahtangga.. Tapi perlu diingat, jika sekadar cinta, ianya tidak cukup!!

No comments:

Post a Comment