Nukilanku suatu ketika dulu
(MARCH 2011)
Kesedihan lalu yang telah dilupakan. Kehilangan yang telah digantikan. Kesakitan yang telah diubati..
Tulisan ini terhasil saat hati dilanda kesedihan kerana berhadapan dengan ujian keguguran kandungan pertamaku, March 2011. kenangan menyentuh jiwa :')
Tapi Allah Maha Berkuasa. Apa yang dimiliki hari ini mungkin lebih baik dan membahagiakan. Alhamdulillah :)
semoga bermanfaat
------------------------------------------------------------------------------
أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" (29:2)
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Seringkali kita melihat musibah yang menimpa insan2 di sekeliling kita. Hati kita berasa simpati. Kesiannya pada dia, simpatinya melihat wajah sayu mereka. Entah bagaimanalah, jika semua ini berlaku pada diri sendiri. Mampukah kita untuk menerima ujian seumpama itu? kuatkah kita? Tabahkah hati kita?
Namun hakikat, ujian pasti datang kepada setiap insan. Mahu atau tidak, bersedia atau tidak, hakikatnya hamba, sememangnya layak untuk diuji. Ujian pasti datang pada setiap insan, bezanya hanyalah bentuk ujian itu. Bencana, kematian, kesakitan, kehilangan, kesedihan, terserah pada Allah yang Maha Berkuasa. Hanya Dia yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, mengatur dan memilih sesiapa yang dia Inginkan. Saat ujian datang, tiada siapa yang mampu menepis, apalagi menolak.
Sakit memang sakit, sedih memang sedih. bagaimana kuat pun, tetap air mata akan mengalir. Namun Tuhan yang Pengasih dan Maha Penyayang tak mungkin sedang menzalimi hambaNya. Lalu mengapa kesakitan ini ditimpakan? Mengapa ujian ini hadir padaku, bukan kepada insan lain? Ya Allah…terasa sangat lemahnya untuk menerima semua ini. Terasa seperti dunia sudah menjadi gelap gelita. Yang hadir dalam fikiran adalah persoalan ‘mengapa aku?’ ‘apa salah dan dosaku? ’Aku tak pernah menginginkan semua ini terjadi. Ujian ini terlalu perit buatku…
Namun mujur ada hati yang tahu memujuk, ada iman yang hadir untuk mengingatkan. Bersabarlah… dikau insan terpilih untuk menerima ujianNya. Tidak mungkin ujian ini hadir menimpamu, andai kamu tidak kuat untuk menghadapinya. Kamu kuat, kerana itu kamu terpilih. Dia kasihkanmu, kerana itu Dia mengujimu. Kerana kasihNya, Dia ingin menghapus dosa2mu melalui kesakitan dan ujian ini. Kerana cintaNya, Dia ingin menganugerahkan pahala buatmu melalui kesabaranmu dalam menerima ujianNya ini. Usahlah bersedih duhai hati. Allah bersamamu, dalam menanggung segala kesakitan ini. Dia mengerti, dan Dia mendengar.
Ujian itu pahit, namun hakikatnya manis. Hanya jika kita mahu ingin bersangka baik pada Tuhan. Hanya setelah kita menyedari adanya hikmah yang sedang tersembunyi dan akan tersingkap. Usahlah merasa kehilangan, kerana yang diambil bukannya milik kita, tapi adalah milikNya. Usahlah bersedih, kerana yang diambil, pasti akan digantikan dengan yang lebih baik. Usahlah merasakan kehilangan, kerana yang ada pada kita masih terlalu banyak, yang tak pernah kita sedari, apalagi mahu mensyukuri..
Allah itu Maha Pengasih, lagi maha Penyayang. Setiap yang berlaku, terkandung hikmah. Rahsia Allah, tiada siapa yang tahu. Usah dipersoal, mengapa takdirNya begini? Kerana takdirNya sentiasa yang terbaik. Tak mungkin diuji, andai tiada kekuatan untuk menghadapinya. Kita sendiri yang perlu mencari dan membina kekuatan itu, andai kita mahu untuk menjadi kuat. jangan menjadi lemah, jangan dilemahkan oleh perasaan. Bagaimana kita bertindak saat ujian itu datang menimpa? Di situlah… Allah menilai sejauh mana keimanan kita.
Buat suami yg kucintai: Duhai sayang..bersabarlah menerima ujian Tuhan ini. Kita hanya hamba yang lemah. Saat ujian ini hadir, jelas kita terasa, betapa Hebat dan Berkuasanya Allah, dan betapa lemah dan kerdilnya kita. Kita tak mampu untuk berbuat apa2, apabila takdir menginginkan begitu. Kita tidak mampu untuk berkata tidak, kerana kemahuanNya, tetap akan terjadi.. bersabarlah sayang.. pasrahkanlah hati menerima semua ini.. cukuplah redha memberikan kita ketenangan dan kekuatan.. Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita…insyaAllah, akan tersingkap hikmahNya, yang akan lebih memberikan keyakinan kepada hati kita bahawa Dia Menyayangi kita, dan Dia sentiasa ingin memberikan yang terbaik untuk kita, lebih daripada yang kita harapkan….INSYAALLAH..
kebahagiaan hari ini :')
No comments:
Post a Comment