HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Tuesday, 19 May 2015

I 'M NOT A SUPERMOM



Aku bukan supermom, bukan superwoman. Masih jauh untuk bergelar 'super' itu. Hanya isteri dan ibu yang biasa biasa. Hampir 5 tahun bergelar isteri, sudah lebih 3 tahun bergelar ibu. Namun masih banyak kekurangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki. Tidak sempurna sebagai isteri, tidak sempurna sebagai ibu. Serba kekurangan... 

Sudah hampir 5 bulan menetap di Kajang setelah suami bertukar kerja baru. suatu ketika dulu kerjanya terpaksa belayar berbulan bulan. Selepas itu dia mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia pelayarannya demi untuk lebih dekat dengan keluarga. Kami sekeluarga berhijrah ke melaka dan menetap di sana selama hampir 3 tahun. Pekerjaannya masih dalam bidang perkapalan. Kini berhijrah pula ke kajang, baru hampir 6 bulan di sini. Tempat kerja suami di Labuan dan Bintulu,  kerap ulang alik. Sering berpisah, tapi kerap juga berkumpul bersama. Alhamdulillah... Takdir Allah adalah yang terbaik.

Ketika ketiadaan suami,akulah segalanya untuk anak anak di rumah. Dah tentu segala hal dari menguruskan anak anak dan rumahtangga aku yang perlu lakukan 100%. Kalau suami ada, banyak juga benda yang dia tolong. Mandikan anak, basuh baju, kemas rumah, dan masak juga...Alhamdulillah. Dia sangat membantu.

Bila suami tiada, akulah segalanya. Uruskan semua hal anak, masak, kemas, basuh dan jemur baju, buang sampah, dan yang lain lain. Yang pastinya, urusan rumahtangga tak pernah selesai. Dari bangun pagi, sampai tidur malam. Memang susah nak maintain rumah dalam keadaan yang sentiasa terjaga rapi, dan dalam masa yang sama anak terurus sempurna. Pasti ada yang boleh lakukannya, memang ada. Tapi mungkin bukan aku. Yes, I'm not a superwoman. Pasti ada kekurangan sana sini.

Anak anak masih kecil dan perlukan sepenuhnya perhatian dan pertolongan ummi dalam segala hal yang melibatkan dirinya. Nak main pun, kadang kadang perlu ummi teman. Nak makan, nak mandi, nak susu, nak belajar, dan macam macam lagi. Belum mampu berdikari sendiri. Ummi pula intai intai masa sesuai nak masak, jemur kain, mengemas, buang sampah dan urusan lain. Rumah kecil je, tapi tetap banyak perkara yang nak dilakukan.

Aku akui, masih belum cekap dalam urusan rumahtangga.  Ada saja yang kurang. Kat sini ok, kat sana tak ok. Kat sana dah kemas, kat sini pula bersepah sepah. Kita kat dapur memasak, anak anak kat luar habis diangkutnya mainan dan buku :) bila makan, tumpah pulak sana sini. Satu hari bukan sekali dua je terpaksa menyapu lantai. Belum masuk bab yang lain lagi :)

Penat tu ada ketikanya penat, ada ketikanya geram, bilalah rumah nak siap kemas, sempurna A-Z. Ada saja yang tidak kena, hari hari pun begitu jugalah rutinnya.

Bila difikirkan, memang segalanya adalah kerana kekurangan aku sendiri. Tak cekap satu hal, jadual yang dibuat pun jarang nak ikut. Tapi sekurang kurangnya apa yang perlu aku lakukan,  aku cuba untuk lakukan yang terbaik. Aku masak dan beri anak anak makan, aku mandikan mereka, pastikan pampers ditukar pada waktunya, mengajar mereka belajar, dan sesekali melayan mereka bermain. Bukankah itu yang paling utama dan yang perlu aku utamakan? Ya, anak anak. Adakala hadir rasa bersalah pada mereka jika aku asyik membuat kerja, dan tak pedulikan mereka. That's why kerja aku sering tertangguh saat mereka ada bersama, dan ketika suami tiada di rumah. Boleh terima tak alasan ni :):):)

Saat aku betul betul bekerja ialah ketika mereka dah tidur malam. Tapi faham fahamlah, aku pun dah penat dan mengantuk. Buat yang mana rasa penting, dan tangguhkan dulu yang kurang penting. Tangguh lagi :)

Tapi begitulah rutin isteri dan ibu biasa sepertiku ini. Nak dijadikan contoh ikutan mungkin tak, malah diri sendiri perlu memperbaiki diri menjadi yang lebih baik. Masih perlu belajar dari mereka yang hebat di luar sana.

Kerana aku bukanlah superwoman, aku tahu aku perlu belajar lagi, dan mencuba yang lebih baik. Perlu lebih kuat, perlu sentiasa sihat. Juga perlu sentiasa positif dan menjaga 'ikhlas' di hati, kerana setiap kali ada rasa marah dan tak puas hati, pasti ada something wrong dengan status 'ikhlas' dalam diriku...

Ya Allah..aku tahu betapa aku tak sempurna sebagai seorang isteri dan ibu. Namun ku punya impian untuk menjadi yang lebih baik untuk suami dan anak anak. Aku ingin mempertahankan ikhlas di hati agar tiada sebarang balasan atau pujian yang aku harapkan dari setiap penat lelahku..

Sesungguhnya hanya ibu dan isteri yang mengerti bagaimana menjadi isteri dan ibu.  Walaupun nampak seperti mudah, namun para isteri perlu betul betul ikhlas dan berjuang untuk memastikan rumahtangga terurus dan terjaga,  dalam masa yang sama anak anak tidak terabai. That's the true supermom..

Selamat berjuang buat para isteri dan ibu :):):)

No comments:

Post a Comment