........“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An Nur:31)
Aurat... Bukan tujuan ku untuk menyampaikan syarahan panjang lebar tentang aurat kerana sudah terlalu banyak perbincangan dan huraian demi huraian mengenai aurat wanita juga lelaki. Dalil di atas bukan satu satunya petunjuk dan rujukan. Aku percaya sejak dibangku sekolah lagi kita semua diajar tentang aurat dan batasan aurat. Cuma barangkali pengertiannya tidak begitu mendalam, dan ada pula yang salah pengertiannya... Buktinya, begitu ramai yang gagal menutup aurat dengan sempurna, sehingga ada pula yang mengatakan bertudung itu tidak wajib ke atas wanita muslimah...hish..macam macam... Rasa takut dan bimbang pun ada, apabila ajaran Islam disalahfaham Dan disalah tafsirkan...
Mengikut kefahaman yang sangat aku yakini, bahawa sesungguhnya aurat wanita itu adalah seluruh anggota badannya, kecuali muka dan telapak tangan, dan hukum menutupinya adalah wajib ke atas semua wanita Muslimah yang baligh. Boleh faham kan...makanya, bertudung itu merupakan satu kewajipan, bukannya pilihan, kerana setiap helaian rambut itu adalah aurat wanita.
Perlu juga difahami dengan sejelasnya bahawa menutup aurat itu bukanlah ertinya menutup rambut. Ya, rambut salah satunya, tetapi bukan hanya sekadar rambut. Sekiranya anda atau saya memakai tudung, tetapi berpakaian ketat, atau sekiranya bertudung tetapi memakai t shirt berlengan pendek, atau bertudung tetapi berjubah jarang dan tidak berstokin, adakah itu dinamakan menutup aurat dengan sempurna???
Jawapannya, TIDAK...sesungguhnya ia belum sempurna. Aurat bukan hanya pada rambut...baguslah pakai tudung, tapi jangan dilupa pada anggota badan yang lain juga ya. Ciri ciri pakaian Muslimah itu perlulah TIDAK KETAT, TIDAK SINGKAT DAN TIDAK JARANG...
Bercakap pasal tudung, pastinya ramai yang tahu dan sedar betapa banyaknya fesyen tudung yang timbul sekarang ni.macam macam fesyen...tak terkejar dibuatnya...sejujurnya aku tak ambil kisah sangat dengan segala fesyen dan style tudung tersebut. Lebih selesa dengan gaya lama yang begini. Tak mengapalah tak up to date yang penting Allah redha dengan niat semata mata mengikut perintah Allah. Bukan untuk ikut trend, bukan untuk kelihatan cantik dan menyerlah. Maaflah, aku juga kurang bersetuju dengan sesetengah fesyen tudung yang pada pandanganku sangat berlebih lebihan. Dengan warna yang terang dan striking, dengan manik dan labuci yang mengerlip, dengan saiznya pula yang tidak mencukupi syarat menutup aurat, sekadar menutup rambut, tapi dada dibiarkan terdedah. Sangat menyedihkan.... Namun masing masing punya pandangan tersendiri...terserahlah...aku juga tidak layak untuk menilai hati dan niat orang lain. Bagi aku simple...kita berpakaian menutup aurat untuk menghindari diri dari pandangan ajnabi. Tetapi sekiranya pakaian kita lebih menarik lebih banyak pandangan mata orang terutamanya lelaki, maka apa maknanya menutup aurat di situ?? Fikirkanlah...
Ya... Yang bertutup litup itu adakalanya lebih menarik perhatian mata mata orang. Tapi pada aku bukan kerana dia berpakaian untuk kelihatan menarik, tetapi pandangan orang lebih kepada pakaian itu kelihatan 'pelik' dan 'janggal' atau senang cakap, tak serupa orang kebanyakan...maka padaku itu bukanlah salah si pemakai kerana dia secubanya mungkin, untuk berpakaian menutup aurat dengan sempurna. Meskipun dia dipandang pelik dan ketinggalan fesyen...dia tak ambil peduli...
Sesungguhnya orang yang menjaga Aurat itu, dia takut pada kemurkaan dan azab Allah. Dia sayang kan bapa dan suaminya..kerana apa?? Kerana dia tahu, bapa bertanggungjawab pada hal aurat anak gadisnya, Dan suami bertanggungjawab pada Hal aurat isterinya. Kelak di akhirat, dia perlu menjawab di hadapan Allah. Nampak tak urusan aurat itu sangat berat? Tidak kasihankah pada ayah dan suami yang perlu menanggungnya? Maka sekali lagi, fikir fikirkanlah...
Untuk kesekian kalinya, aku bersyukur dikurniakan suami yang amat memandang serious dan menjaga urusan auratku. Dia teliti tentang labuh atau singkatnya tudungku. Dia perasan aku pakai hand sock atau tidak. Nak berseluar panjang pun perlu baju labuh bawah lutut..pendek kata, nak berpakaian ke luar rumah perlu mendapat kelulusannya dulu. Dia kata ok, maka oklah....diri pun dah terbiasa begini, maka tak mengapalah...yang penting suami redha, dan mudah mudahan Allah juga redha...jika tanpa pantauan suami, bimbang juga akan berlebih lebihan dalam berpakaian...maklumlah perempuan...
Untuk yang terakhir kalinya, aku ingin mengajak kalian dan diriku sendiri untuk sama sama menjaga aurat dengan sempurna yang mungkin, demi maruah kita sebagai seorang wanita Muslimah, dan maruah ayah/suami kita. Juga demi patuh dan taat dengan segala perintah Allah yang pastinya terbaik untuk menjaga dan melindungi kita...percayalah...
No comments:
Post a Comment